ISKANDAR PUTERI: Festival Majestic Johor 2023 yang bermula hari ini hingga 3 September ini di Puteri Harbour di sini menyasarkan seramai 650,000 pengunjung.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, sasaran itu lebih ramai berbanding kehadiran pengunjung yang direkodkan dalam festival sulung tahun lalu, iaitu 600,000 orang.
Antara tarikan utama festival edisi kedua itu termasuk kehadiran pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sesi bertemu peminat.
“Antara pengisian program termasuk sesi ‘meet and greet’ pemain JDT, pameran piala dimenangi JDT, pertunjukan bunga api, pertunjukan belon udara panas, perarakan busana tradisional Johor, pameran kenderaan antik dan lain-lain.
“Selain itu, festival selama sembilan hari ini juga diserikan dengan kehadiran 60 artis popular tempatan yang akan menghiburkan pengunjung dengan persembahan percuma setiap malam,” katanya.
Beliau yakin dengan penganjuran program pelancongan berskala besar seperti itu dapat merancakkan semula sektor pelancongan negeri yang agak perlahan beberapa tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
“Festival ini juga akan membantu kerajaan negeri menarik kehadiran seramai 15 juta pelancong ke negeri ini, sama ada pelancong domestik atau antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Datuk Saripah Raziah atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah berkata, setiap artis yang terlibat mempunyai gerai jualan produk masing-masing.
“Ini bermakna selain persembahan percuma, artis-artis ini berada di gerai jualan masing-masing,” katanya. – UTUSAN
Source from Utusan Malaysia