JOHOR BAHRU: Selepas tiga tahun tidak diadakan susulan pandemik COVID-19, Kembara Mahkota Johor (KMJ) kembali membuka tirainya Sabtu ini.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, hari ini acara yang dinanti-nantikan Bangsa Johor itu bakal menyaksikan Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor kembali menjelajah ke sepuluh daerah bertemu rakyat.
“Kali terakhir KMJ diadakan pada 2019. KMJ 2023 akan berlangsung bermula 5 hingga 8 Ogos ini, bakal menyaksikan jelajah pacuan empat roda oleh Keluarga Diraja Johor dengan perjalanan hampir 800 kilometer.
“Ikutilah perkembangan dan aktiviti jelajah KMJ 2023 menerusi laman media sosial Keluarga Diraja Johor,” menurut hantaran itu.
Pada edisi lalu, Sultan Johor menunggang motosikal berkuasa tinggi ‘Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike’ dan bertemu rakyat Johor di sepanjang perjalanan menjelajahi sepuluh daerah di negeri ini.
Source from Berita Harian